Sunday, April 4, 2010

TIKUS TEATER

TIKUS TEATER
oleh Yusrika Bahar

Salam Teater sekali lagi.

Mesyuarat Pra-Produksi minggu pertama Kaki Teater Muda Putrajaya telah selamat diadakan. Alhamdulillah, aku berjaya mengumpulkan kekuatan seramai hampir 30 orang yang sudi terlibat dan menjayakan pementasan kali ini.

Pementasan kali ini berkisarkan tentang keamanan, kerukunan sebuah kampung yang menyokong agenda kerajaan dan pelbagai ragam ditonjolkan. Pelbagai elemen dan unsur kekeluargaan diterapkan secara jujur dan bersahaja. Pementasan ini juga bertujuan untuk menonjolkan bakat dan daya kreativiti ahli-ahli produksi yang rata-ratanya terdiri daripada pelajar sekolah menengah di Putrajaya berumur 14-17 tahun. Aku menulis skrip 'Sketsa Kampung Aman' ini selama 3 bulan mengumpul material dan kajian sedkit-sebanyak. Skrip ini ini tidaklah terlalu kompleks penulisannya dan pada pendapat aku yang kurang ilmu ini skrip ini hanya bertujuan pendidikan dan galakan berkreativiti kepada anak-anak muda ini yang amat dahagakan dunia teater dan lakonan.

Dari perspektif penulisan dan sastera bagi aku, karya ini biasa-biasa sahaja tapi yang istimewanya bagaimana para pelajar ini menterjemahkannya dan lari dari kehidupan mereka seadanya. Mereka lahir dan membesar di Putrajaya tapi akan membawakan watak orang kampung dan berumur. Sudah tentu pelbagai kajian watak, perwatakan haru bermula dari 0. Aku kali ini tidak keseorangan mengendalikan latihan. Maksudnya Tikus-Tikus Makmal ini tidak akan hanya melihat wajahku sepanjang proses latihan. Terima-kasih dan syukur tidak terhingga kepada kenalan yang sangat memahami dan aku amat mengagumi usaha, komitmen dan semangat mereka untuk membantu. Terima-kasih kepada Eddy Aizad dan Abdul Hadi kerana sudi membantu dan merealisasikan pementasan yang berlangsung pada 14-16 Mei ini sempena Karnival Remaja Rakan Muda, Sambutan Hari Belia Negara 2010.

Cabaran buat anda Tikus-Tikus Makmal! Bukan hanya setakat rakan-rakan dan keluarga sahaja yang akan menonton, tetapi kita tidak dapat jangkakan siapa yang akan hadir. Oleh itu buatlah bersungguh-sungguh. Jadikan ujikaji kali ini berjaya dan membuka mata khalayak yang memandang sinis terhadap anda bahawa anda adalah Tikus-Tikus Makmal yang lain dan unik. Punya ciri-ciri yang tidak ada pada Tikus-Tikus di luar sana.

Kepada pembaca, aku juga harap akan sokongan dan perhatian anda sekalian. Dunia teater ini tidak akan padam selagi ada yang menyokong perjuangan anak-anak muda ini. Ayuh! Semarakkan bersama dan berdiri atas dasar seni dan buktikan pada negara dan dunia bahawa Dunia Teater juga boleh memacu Pembangunan Negara. Seni untuk semua!

Jangan risau, aku akan keluarkan senarai tenaga produksi pada keluaran akan datang untuk perhatian dan tindakan anda semua.

Sekian, Terima-Kasih.

Yusrika Bahar
Profesor Ujikaji Gila
Putrajaya

No comments:

Post a Comment